Friday, October 13, 2006

Ikatan Keluarga dan Politik; Fenomena Global






Dominasi politik keluarga bukanlah satu prekara baru di dunia dan tidak pula tertumpu kepada wilayah atau negara saja.

Trend itu menjadi satu fenomena global yang wujuk sejak berzaman dan seolah-olah tidak lekang dek panas dan tidak luput dek hujan, ia terus mewarnai suasana politik masa kini.

Dari Asia, Timur Tengah hingga ke Amerika Syarikat, soal anak mengikuti jejak langkah ibu, bapa atau datuk dalam meneraju pimpinan politik dan negara memang tidak asing lagi, malah ada yang menjadikan kepimpinan negaar sebagai 'dinasti keluarga'.

Keluarga Nehru, misalnya, mendominasi kepimpinan politik India melangkaui empat generasi - dari datuk turun kepada anak perempuannya dan kemudian cucu.

Anggota keluarga ini yang diterajui Jawaharlal Nehru "memerintah" India selama 37 dari 53 tahun India merdeka. Semua mereka Nehru (1947-1964), Indira Ghandi (1966-1977) dan sekali lagi daripada 1980-1984 dan Rajiv Ghandi 1984-1989 adalah Perdana Menteri negara itu.

Kini janda Rajiv Sonia Ghandi, wanita keturunan Itali pula meneruskan dinasti keluarga ternama India itu. Beliau kini adalah ketua Parti Kongres dan juga ketua pembangkang di negara itu.

Dominasi politik keluarga ini paling ketara, selain India, ialah di Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal.

Keadaan yang sama juga berlaku di Amerika Syarikat yang mana keluarga Kennedy dan kini Bush meneruskan legasi kepimpinan politik keluarga di mana George W Bush kini menjadi Presiden ke-43 Amerika. Bapanya George Bush senior pula adalah Presiden ke 41.

Nama-nama lain yang tidak asing lagi ialah Megawati Sukarnoputri, anak perempuan presiden pertama Indonesia, Sukarno; Gloria Macapagal Arroyo presiden Filipina sekarang, Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, Bashar Al-Assad, Presiden Syria yang mengambil alih pucuk pimpinan selepas kematian bapanya.

Megawati, wanita pertama menjadi presiden Indonesia mengetuai Negara itu dari 2001 hingga 2004, sementara Arroyo adalah anak presiden Filipina ke-12 iaitu Diosdado Macapagal.

Lee Hsien Loong pula adalah anak sulong bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew yang kini masih menjadi menteri kanan berpengaruh dalam Kabinet negara itu.

Hakikatnya, memang sudah menjadi tuntutan sejarah bahawa ikatan kekeluargaan dan politik adalah satu perkembangan yang bukan luar biasa untuk dicemburui.

Maka apabila sejarah Malaysia masa kini menyaksikan cucu Abdullah Fatim menjadi Perdana Menteri dan anakanda Tun Razak Hussein bakal menjadi Perdana Menteri selepasnya, tidak wajar menjemput rasa irihati mana-mana pihak.

Begitupun tidak dapat dinafikan ikatan kekeluargaan bukanlah faktor penentu jatuh bangunnya atau maju mundurnya seseorang tokoh politik.

Banyak faktor lain umpamanya, Dato' Seri Abdullah dan Dato' Sri Najib memang mempunyai karisma, punya kelayakan, pengalaman, keterampilan dan personaliti unggul yang menyaksikan mereka maju menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Cerahnya masa depan barisan pemimpin pelapis seperti Dato' Sri Hishamuddin, Khairy dan Dato' Mukhriz juga bukan semata-mata kerana faktor kekeluargaan.

Dato' Seri Hishamuddin seorang peguam lulusan University of Wales, Aberystwyth, United Kingdom, yang mewarisi darah perjuangan datuknya, Dato' Onn Jaafar, terbukti tenang menghadapi segala cabaran politik, punya karisma sesuai dengan citarasa generasi muda seangkatannya dan lenggok politiknya amat dewasa dan matang setaraf rakannya dalam Kabinet dan Majlis Tertinggi.

Begitu juga Dato' Mukhriz Mahathir yang mendapat undi tertinggi dalam pertandingan jawatan Exco Pemuda UMNO. Graduan bidang pemasaran dari University Boston, Massachusetts, Amerika itu bijak melakar imej politik dengan menerajui Gerakan Aman Malaysia tajaan Pemuda.

Di situ beliau memahat nama sebagai insan muda yang penyayang, tangkas bertindak membela mangsa tsunami, mangsa kekejaman peperangan, mangsa gempa bumi.

Begitu apabila tiba masanya anak-anak muda seperti Dato' Sri Hishamuddin Tun Hussein - cucu Dato' Onn Jaafar dan Dato' Mukhriz, anak Tun Dr Mahathir - muncul mewarisi kepimpinan negara. Kita terimalah ia sebagai aturan Allah SWT yang tidak mampu kita sekat, halang atau kita curigai dan yang pentingnya mereka semuanya sama-sama layak, sama-sama memiliki karisma dan sama-sama punya daya juang.

Perkara yang sama berlaku untuk Pihak Pembangkang di mana kita menyaksikan Wan Azizah dan anaknya Nurul Izzah sebagai ahli Parlimen, Lim Kit Siang dan anaknya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, Karpal Singh dan juga anaknya.